26.6.11

Ucapan kasih sayang takkan pernah terlewat, kan?

Balik dari Jusco hari ahad lepas, terus aku bagi baju yang aku belikan untuk dia.

Dia senyum gembira, berterima kasih pada aku lantas diciumnya baju yang masih berplastik itu.

Aku berpusing, sebab mata dah bergenang.


Sedih.


Pertama sebab melihatkan dia terlalu menghargai apa saja pemberian dari aku. Pernah dulu dia dengan seronoknya bercerita pada saudara-mara perihal duit bonus yang aku kongsikan dengan dia. Padahal duit tu sangatlah tak seberapa.


Kedua sebab aku rasa tak layak untuk terima ucapan terima kasih daripada dia. Aku yang berhutang terlalu banyak ucapan terima kasih pada dia, sebab dia bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik untuk kami adik beradik lepas mama tak ada.




Ayah,
Terima kasih. Selamat hari ayah.
Halalkan kasih sayang ayah semuanya untuk anakmu ini bawa hingga ke mati.

24.6.11

Betul. Masih belum selesai.


Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa.


Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya.

Perjuangan Yang Belum Selesai
Tun Dr. Mahathir Mohamad
Malam Puisi Utusan | 4 Mei 1996


 

 





Tiba-tiba rindu zaman Malaysia di-perdana menteri-kan Tun Dr. Mahathir.

...and Tun Dr. Siti Hasmah really has that shoulder to cry on.

 

21.6.11

Dia yang kekal dalam hati, sampai mati.

Bangun pagi seawal aku bukak mata, muka dia yang aku tatap. Usai dikejut, siap sedia untuk ke sekolah.


Lewat malam, wajah dia paling akhir yang aku tatap. Tangannya aku cium tanda ucap selamat malam. Dibalas dengan kucupan di dahi, kadang-kadang di pipi. Buat bekal lena tidur aku.


Bila hari report card di sekolah, mesti kembang kempis hidung aku. Bukan sebab aku paling excellent di sekolah, tapi sebab kawan-kawan selalu kata dia cantik. Masih aku ingat kenangan di tingkatan 4, bertambah lebar senyum aku bila dapat ikut dia balik lepas sesi jumpa cikgu kelas dan ambik report card. Terima kasih banyak-banyak wahai demam, kau memang sungguh timing.


Tahun baru 1990, aku jadi saksi bilamana dia membuat keputusan untuk menutup auratnya. Tudungnya saja penuh sebakul, sebahagian besarnya jahanam dikerjakan dek aku. Sampai tetas benang tudung di bawah dagu gara-gara cara pakai brooch aku yang ntah-macam-mana-ntah.



Satu malam di tahun 1992, lepas solat isyak. Dia bercerita bagaimana seorang budak perempuan akan mengalami proses pembesaran. Ceritanya penuh nasihat, betapa seorang budak perempuan yang bakal atau telah 'membesar' tidak boleh lagi berlepas laku ibarat budak tadika. Perlu jaga adab susila, perlu jaga batas laku.


Setahun selepas itu, aku mengalaminya.



Satu malam di tahun berapa-entah-aku-lupa, kepala batu aku kena tunjal dek tangannya. Sebab sebenar aku dah lupa, mungkin gara-gara aku yang terlalu keras kepala. Yang aku ingat beberapa hari lepas tu, dia ketawakan aku. Katanya "baru kena luku sikit dah boleh masak nasi, goreng ikan. Kalau kena luku lagi kuat mesti dah reti masak kari dengan kurma."



Masa di hostel waktu tingkatan 4 dan 5, hari minggu memang heaven. Berduyun-duyun family datang melawat kami dengan macam-macam jenis makanan. Kami pakat turun ke pondok pak guard ramai-ramai. Lepas satu, satu family kami terjah. Hello, bukan sebarang terjah. Cuma family dorm-mate yakni sahabat yang rapat. Walau kami pantang jumpa makanan - istilahnya tembolok (dah lama aku tak gunapakai perkataaan tu), kami masih ada rasa malu untuk mengecop diri sendiri sebagai tetamu tak diundang.


Setiap tahun menjelang raya, cik Non guru mengaji aku tak pernah tinggal terima hadiah kain ela dari dia. Bila aku tanya kenapa dia rajin bagi hadiah dekat cik Non, katanya itu sedekah yang tak seberapa kalau nak dibandingkan dengan ilmu ukhrawi yang cik Non dah beri pada aku.


Masa aku di tingkatan 2, buat pertama kali dia masuk operation room untuk buang ketulan pada buah dadanya. Selang berapa bulan, selepas thorough check up, doktor sahkan ketulan telah tiada lagi. Saudara-mara mengadu dia nampak makin kurus.




Zaman matrikulasi di Rawang, pun heaven. Hujung minggu, aku balik semula ke Rawang. Satu family hantar aku. Kadang-kadang, kami singgah di kedai makan. Dia suka makan dekat situ sebab (selain dari makanan dia yang memang sedap), dia suka tengok muka sorang waitress dekat situ. Dia kata comel macam Siti Nurhaliza.



Benda yang aku dan dia takutkan akhirnya datang jugak. Ketulan pada buah dadanya kembali naik dan membengkak, agak teruk sebab merebak ke tulang. Kanser payudara nya kembali. Akhirnya dia menjalani kemoterapi. Pulangnya aku dari UiTM untuk berhujung minggu disambut dengan wajah pucat lesu. Terbaring tak terdaya di sofa. Aku ke ruang tengah, menangis semahu-mahu sambil menahan sedu. Berbaur rasa sedih dan takut dalam hati. Aku takut untuk memikirkan masa depan. Masa depan aku dan dia.



Tahun 2003, arwah atuk hendak berumrah ke Mekah. Awalnya dia mahu mengikut, tapi ketentuan Allah mengatakan dia akan berada di tanah airnya.






Sehingga sampai pada tarikh dia dijemput pulang.





...untuk aku mengabdikan diri untuk kali yang penghabisan. Sebagai anaknya.




Suapkan makan. Pimpin dan mandikan di bilik air. Pakaikan stokin.



...mandikan dia untuk kali yang penghabisan.


...cium dahi dia yang berkeringat demi menjaga keluarga.


...cium pipi dia yang kadang-kadang basah berair mata.


...cium bibir dia yang takkan lagi aku dengar bebelan dan pujian darinya.





Hari ini, genap 8 tahun dia bersemadi di taman sana.
5 hari lagi - jika hayatnya masih ada, usianya 53 tahun.





Hangat ciumnya tetap aku rasa.

Pedih cubitnya tetap terasa.

Bebel dan pujinya tetap terngiang.

Damai wajahnya tetap terbayang.








Tuhan, tolong sampaikan doa dari aku untuk dia.
Walaupun aku tahu aku bukan anak yang baik.



Tuhan, tolong temukan kembali aku dan dia di dalam syurga.
Walaupun aku tahu aku belum layak untuk syurga-Mu.



Tuhan, aku rindu Mama.

11.6.11

Nak bubuh tajuk apa ye?

Suatu hari yang ceria, dengan mood yang baik untuk merayau ke benua bloggers.

Aku klik blog link itu.




"Selamat datang ke blog saya."

Aku klik OK.




"Semoga anda ceria selalu."

Aku klik OK.




"Jangan lupa tinggalkan jejak untuk saya melawat blog anda."

Aku klik OK.




"Kalau suka, follow la blog ni ye :)"

Aku klik OK.




"Kalau tak suka tak apa, tekan je 'X' kat atas tu."

Aku klik X.











"Terima kasih, kalau sudi singgahlah lagi :)"









Blog kau cantik dan menarik, malah lebih tertarik da'bomb kalau...







...kalau kau remove semua prompt message tu.




p/s : pun pernah gian buat prompt message, masa kelas programming dulu. Back to early 2000.

9.6.11

Talkless Thursday #5





































































17 May 2011 | Cuti Wesak
Alamanda, Putrajaya + Muzium Negara, KL

7.6.11

Isu AdindaEvans - tanda kita masih bersaudara.

Kepada yang telah, pernah atau sedang ingin mengenali manusia di balik nama AdindaEvans ini, sila semat dalam hati bahawa dia juga manusia biasa.

Bila hakikat manusia biasa itu dapat diterima, harapnya dapat jugalah menerima bahawa tidak ada satu pun makhluk yang sempurna. Dosa, khilaf, salah silap terlalu amat biasa menjadi prop lakonan hidup.


Bukan AdindaEvans saja, tidak ada seorang pun di muka bumi ini terlepas dari membuat dosa. Termasuk aku.

Cuma bagaimana kekuatan diri dan iman dalam menepis dari berulangnya dosa - itu yang membezakan setiap seorang daripada kita.




Katalah dia adik kau, mahu ke kau menjaja cerita dalam kainnya? Atau mahu ke kau biarkan manusia-manusia lain berterusan membuka aibnya?



Semoga satu hari, Allah bukakan pintu hatinya untuk bermuhasabah diri.


Semoga Allah yang Maha Baik tidak akan terus biarkan kita dibuai kejahatan dengan mendedahkan kehinaan orang lain.



Kerana mendedahkan kehinaan orang lain, samalah macam mendedahkan kehinaan sendiri.


...kita tentu tak mahu Allah membuka aib kita di hadapan seluruh hamba-Nya di padang Mahsyar nanti, bukan?


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujuraat ayat 12




Dan adakah kita ni lebih baik dari AdindaEvans?




Kita kata kita tak pernah buat maksiat.


Tapi mata kita terjegil-jegil melihat aurat yang bukan milik kita.

Telinga kita bagai ditadah-tadah mendengar kisah buruk aib orang.

Mulut kita laju lancar mengungkap kebohongan.

Tekak kita tidak ragu menjamah yang syubhah.

Tangan kita sungguh selesa bertepuk tampar pasangan bukan mahram.

Kaki kita ringan saja dihayun ke tempat-tempat yang me-lagha-kan.

Hati kita selalu dengki dan iri dengan kesenangan orang lain.








Maka sebaik manakah kita disisi Allah?




“Daripada Abu Sa’id al-Khudri, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu dengan lidahnya dan sekiranya tidak mampu dengan hati. Demikian itu selemah-lemah iman.” (Hadis Riwayat Muslim)”



Melihatkan ratusan komen (setakat yang aku lihat tempohari) diterima AdindaEvans dengan statement berani matinya itu (akak pun tak pernah declare depan orang macam tu, dik!), aku percaya masyarakat kita masih punya rasa prihatin. Cuma pembawaan rasa keprihatinan itu berbeza-beza, sesetengahnya menegur secara baik dan berhemah manakala sesetengahnya pula memberi respon yang agak keras. Apa pun, sekurang-kurangnya setiap individu merasakan mereka punya tanggungjawab untuk memberi teguran.



Yang penting, setiap nasihat perlu ikhlas dan berdoalah semoga kita semua diberi kekuatan untuk terus berbuat kebaikan.


“Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” (Riwayat Muslim)”

 
 
 
 
Perenggan akhir - Hidup jugak perlukan GPS. Walaupun kita tau destinasi kita, tak mustahil kita sesat ditengah jalan.
 

3.6.11

12345!




Kalau nak tunggu RM 10K baru nak cash out, berapa tahun agaknya aku kena tunggu? :D



2.6.11

Bye-bye, KL.

Hujung minggu tanpa aku tentu tak ada bezanya bagi kau, wahai kota.

Selamat bergelimpang dengan hiruk pikuk, seperti biasa. Aku keluar dari isi perutmu sementara - untuk pergi mencium bau santai dan damai.






Bon voyage, Barine.






p/s -  tak jauh lah, ke Pantai Timur saja! :D
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...