21.6.11

Dia yang kekal dalam hati, sampai mati.

Bangun pagi seawal aku bukak mata, muka dia yang aku tatap. Usai dikejut, siap sedia untuk ke sekolah.


Lewat malam, wajah dia paling akhir yang aku tatap. Tangannya aku cium tanda ucap selamat malam. Dibalas dengan kucupan di dahi, kadang-kadang di pipi. Buat bekal lena tidur aku.


Bila hari report card di sekolah, mesti kembang kempis hidung aku. Bukan sebab aku paling excellent di sekolah, tapi sebab kawan-kawan selalu kata dia cantik. Masih aku ingat kenangan di tingkatan 4, bertambah lebar senyum aku bila dapat ikut dia balik lepas sesi jumpa cikgu kelas dan ambik report card. Terima kasih banyak-banyak wahai demam, kau memang sungguh timing.


Tahun baru 1990, aku jadi saksi bilamana dia membuat keputusan untuk menutup auratnya. Tudungnya saja penuh sebakul, sebahagian besarnya jahanam dikerjakan dek aku. Sampai tetas benang tudung di bawah dagu gara-gara cara pakai brooch aku yang ntah-macam-mana-ntah.



Satu malam di tahun 1992, lepas solat isyak. Dia bercerita bagaimana seorang budak perempuan akan mengalami proses pembesaran. Ceritanya penuh nasihat, betapa seorang budak perempuan yang bakal atau telah 'membesar' tidak boleh lagi berlepas laku ibarat budak tadika. Perlu jaga adab susila, perlu jaga batas laku.


Setahun selepas itu, aku mengalaminya.



Satu malam di tahun berapa-entah-aku-lupa, kepala batu aku kena tunjal dek tangannya. Sebab sebenar aku dah lupa, mungkin gara-gara aku yang terlalu keras kepala. Yang aku ingat beberapa hari lepas tu, dia ketawakan aku. Katanya "baru kena luku sikit dah boleh masak nasi, goreng ikan. Kalau kena luku lagi kuat mesti dah reti masak kari dengan kurma."



Masa di hostel waktu tingkatan 4 dan 5, hari minggu memang heaven. Berduyun-duyun family datang melawat kami dengan macam-macam jenis makanan. Kami pakat turun ke pondok pak guard ramai-ramai. Lepas satu, satu family kami terjah. Hello, bukan sebarang terjah. Cuma family dorm-mate yakni sahabat yang rapat. Walau kami pantang jumpa makanan - istilahnya tembolok (dah lama aku tak gunapakai perkataaan tu), kami masih ada rasa malu untuk mengecop diri sendiri sebagai tetamu tak diundang.


Setiap tahun menjelang raya, cik Non guru mengaji aku tak pernah tinggal terima hadiah kain ela dari dia. Bila aku tanya kenapa dia rajin bagi hadiah dekat cik Non, katanya itu sedekah yang tak seberapa kalau nak dibandingkan dengan ilmu ukhrawi yang cik Non dah beri pada aku.


Masa aku di tingkatan 2, buat pertama kali dia masuk operation room untuk buang ketulan pada buah dadanya. Selang berapa bulan, selepas thorough check up, doktor sahkan ketulan telah tiada lagi. Saudara-mara mengadu dia nampak makin kurus.




Zaman matrikulasi di Rawang, pun heaven. Hujung minggu, aku balik semula ke Rawang. Satu family hantar aku. Kadang-kadang, kami singgah di kedai makan. Dia suka makan dekat situ sebab (selain dari makanan dia yang memang sedap), dia suka tengok muka sorang waitress dekat situ. Dia kata comel macam Siti Nurhaliza.



Benda yang aku dan dia takutkan akhirnya datang jugak. Ketulan pada buah dadanya kembali naik dan membengkak, agak teruk sebab merebak ke tulang. Kanser payudara nya kembali. Akhirnya dia menjalani kemoterapi. Pulangnya aku dari UiTM untuk berhujung minggu disambut dengan wajah pucat lesu. Terbaring tak terdaya di sofa. Aku ke ruang tengah, menangis semahu-mahu sambil menahan sedu. Berbaur rasa sedih dan takut dalam hati. Aku takut untuk memikirkan masa depan. Masa depan aku dan dia.



Tahun 2003, arwah atuk hendak berumrah ke Mekah. Awalnya dia mahu mengikut, tapi ketentuan Allah mengatakan dia akan berada di tanah airnya.






Sehingga sampai pada tarikh dia dijemput pulang.





...untuk aku mengabdikan diri untuk kali yang penghabisan. Sebagai anaknya.




Suapkan makan. Pimpin dan mandikan di bilik air. Pakaikan stokin.



...mandikan dia untuk kali yang penghabisan.


...cium dahi dia yang berkeringat demi menjaga keluarga.


...cium pipi dia yang kadang-kadang basah berair mata.


...cium bibir dia yang takkan lagi aku dengar bebelan dan pujian darinya.





Hari ini, genap 8 tahun dia bersemadi di taman sana.
5 hari lagi - jika hayatnya masih ada, usianya 53 tahun.





Hangat ciumnya tetap aku rasa.

Pedih cubitnya tetap terasa.

Bebel dan pujinya tetap terngiang.

Damai wajahnya tetap terbayang.








Tuhan, tolong sampaikan doa dari aku untuk dia.
Walaupun aku tahu aku bukan anak yang baik.



Tuhan, tolong temukan kembali aku dan dia di dalam syurga.
Walaupun aku tahu aku belum layak untuk syurga-Mu.



Tuhan, aku rindu Mama.

2 jejak:

@tune® berkata...

Barine...
aku masih beruntung aku ppunya kedanya..
yag sentiasa menemani ku suka dan duka..

aku bersyukur kerana aku masih boleh mendengar suaranya...

smoga kau tabah di atas ujian ini...

b a r | n e berkata...

Terima kasih, Atun.

Aku tumpang happy :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...